Wednesday, October 14, 2009

Sunday, August 9, 2009

Persekitaran bentuk peribadi

PERSEKITARAN yang baik membentuk peribadi cemerlang, manakala persekitaran buruk menjadikan diri semakin gersang.

Tetapi dalam sesetengah kes muncul juga diri yang sangat naif akhlaknya walaupun dalam persekitaran baik dan ada pula baik akhlaknya biarpun di sekelilingnya buruk.

Kisah Nabi Ibrahim a.s boleh dijadikan contoh. Walaupun baginda hidup di dalam persekitaran yang teruk, ketika kaumnya dalam keadaan teraba-raba menyembah berhala, baginda tidak turut serta, sebaliknya mencari Tuhan yang satu.

Bangsa Arab dulu, satu ketika dengan kehidupan jahiliah, tetapi apabila datang Islam, mereka berlumba-lumba memeluk agama yang suci. Budaya mereka bertukar, daripada percaya kepada yang karut, kepada beriman kepada Allah.

Berhala bukan saja tidak diendahkan malah dimusnahkan bagi membina persekitaran baru yang diredai dan diberkati, sekali gus meletakkan nilai akhlak kepada yang satu.

Apakah dimaksudkan persekitaran di sini? Persekitaran merujuk kepada segala sesuatu yang berada di sekelilingnya dan memberi kesan terhadap kehidupan seseorang, sama ada secara langsung atau tidak, sejak dalam kandungan ibu hingga akhir hayat.

Dari pengertian ini, persekitaran merangkumi kedudukan geografi atau tempat yang diduduki seseorang, rumah tangga yang terdiri daripada ibu bapa serta anggota keluarga lain yang dinaungi, teman dan sahabat serta masyarakat.

Unsur alam persekitaran mempunyai peranan dalam pembentukan akhlak. Hakikat ini tidak boleh diketepikan.

Ibnu Khaldun ada mengemukakan pendapat, iaitu tempat tinggal memang mempunyai kesan dan pengaruh kepada sifat sesuatu bangsa, walaupun kesan dari faktor ini amat kecil.

Secara umum ada sunnah yang mengakui kesan dari faktor ini, seperti hadis yang bermaksud: "Hati-hati yang kasar dari sebelah timur dan amanah bagi ahli (penduduk) Hijaz."

Mengenai faktor ibu, kajian mengakui ada kesan daripada jiwa (rohani) ibu yang mengandungkan anaknya.

Selalu disebut dalam kajian itu pengakuan seorang ahli fikir barat, Tomes Hobbs. Sifat yang berduka itu ada kaitan dengan jiwa ibunya yang ketakutan ketika kapal tentera Sepanyol, Armada menuju ke pantai.

Menurut sarjana, kes seperti ini dikatakan berlaku di kalangan masyarakat. Ada disebut kenan (keganjilan tertentu).

Islam mengakui kesan persekitaran dari faktor kandungan ibu. Rasulullah mengajar umatnya memulakan dengan doa ketika bersetubuh dengan isteri, memohon supaya tidak dicampuri syaitan.

Jadi, jika ditakdirkan mendapat zuriat, pasangan suami isteri mendapat jaminan bayinya terselamat dari penguasaan syaitan.

Adalah wajar bagi kita turut memanjatkan doa kepada bayi sejak dari dalam kandungan. Sekiranya tidak, mintalah bantuan orang soleh untuk mendoakannya, supaya dia mendapat kesejahteraan, menjadi insan yang baik dan memberikan ketenangan.

Faktor persekitaran yang paling penting apabila lahirnya bayi ke dunia. Ibu bapa dan ahli keluarga lain memainkan peranan begitu besar dalam pembentukan sifat dan sikapnya.

Ini kerana sifat anak di peringkat awal cenderung untuk meniru, iaitu tahap awal dalam proses pembelajarannya.

Jika tahap ini dapat dimanfaatkan ibu bapa dan ahli keluarga dengan akhlak yang baik, tentu peribadinya juga terpuji.

Pada awal usia beginilah ibu bapa harus menunjukkan contoh baik, seperti berkata dengan sopan, beradab, menghormati yang lain, saling membantu dan tidak bongkak.

Imam al-Ghazali ada menegaskan: "Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Hatinya yang masih bersih adalah mutiara berharga yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap."

Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Satu lagi hadis bermaksud: "Wahai anak, bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan makanlah dari yang hampir di sebelah kamu."

Ungkapan di dalam hadis terbabit merujuk kepada pembentukan akidah, akhlak dan gaya hidup anak. Ia juga mengisyaratkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam pembentukan akhlak dan jati diri.

Berkawanlah dengan 'penjual minyak wangi'

KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.

Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.


Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.

Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?

Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?

Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)

Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.

Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.

Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.

"Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.

"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)

Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.

Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.

Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.

Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.

Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.