Tuesday, August 4, 2009

BUASIR

Sumber Berita Harian
DIANGGARKAN 50 peratus orang mendapat buasir pada suatu masa dalam hidup mereka. Ia tidak selesa dan kadangkala memalukan, tetapi jarang menjadi masalah serius.

Buasir berlaku jika tekanan pada sistem salur darah vena lebih tinggi daripada normal. Bengkak pada salur vena ini boleh berlaku pada bahagian dalam atau luar di bawah kulit. Kedua-duanya boleh berada dalam dubur atau terkeluar sebagai ketulan yang dapat dirasai selepas membuang air besar.

Sebab yang boleh meninggikan tekanan darah dalam salur vena ialah mengandung, selalu mengangkat benda berat dan meneran ketika membuang air besar kerana sembelit. Buasir boleh juga terbentuk daripada tekanan yang tinggi pada salur vena besar dalam hati (dipanggil salur vena portal). Jika tekanan ini terlalu tinggi, lama-kelamaan akan membabitkan seluruh sistem vena lain termasuk dubur.

Apabila buasir terjadi, boleh menyebabkan pendarahan selepas membuang air
besar. Biasanya pendarahan itu sedikit. Simptom lain ialah terasa ketulan keluar dan masuk ke dalam selepas membuang air besar. Lendir juga boleh terkeluar dari buasir dan jika ia terlalu besar, ia memberi rasa tidak puas selepas membuang najis. Ia boleh juga bengkak kerana darah di dalamnya tersumbat - ini akan menyebabkan sakit sehingga seseorang itu tidak dapat duduk betul.

Bukan semua perdarahan dari dubur kerana buasir. Lain-lain masalah termasuk ketumbuhan, luka dalam usus dan paling membimbangkan ialah kanser usus. Oleh itu, seseorang yang mengalami perdarahan mesti diperiksa dengan teliti sebelum mendakwa buasir sebagai punca.

Kebanyakan buasir tidak memerlukan rawatan kerana akan hilang sendiri. Buasir tidak akan menghalang kehamilan, tetapi senang berlaku ketika mengandung dan akan surut semula selepas bersalin.

Daflon (Daflon 500', (Servier)) ialah sejenis ubat yang diproses dari tumbuhan mengandungi flavonoid yang menolong mengecutkan buasir ketika bengkak dan sakit.

Jika tiada apa-apa perbezaan selepas mengambil Daflon, pemeriksaan lebih teliti harus dilakukan untuk menentukan masalah sebenar. Selain itu, ada krim untuk
disapu bagi mengurangkan sakit dan ubat yang dimasukkan dalam dubur bagi menolong mengecutkan buasir.

Jika buasir terus membesar dan menyebabkan perdarahan atau sakit, kaedah lain harus dilakukan. Pembedahan biasanya dilakukan untuk kes teruk saja. Satu daripada cara lain lebih mudah dilakukan ialah mengikatnya dengan ketat pada bahagian pangkalnya supaya aliran darah akan terputus dan akan mengecut dan jatuh selepas beberapa ketika. Teknik ini dikenali sebagai `rubberband ligation'. Cara ini tidak menyebabkan sakit yang teruk atau berpanjangan.

Teknik yang baru ialah menggunakan laser, pembakaran menggunakan aliran elektrik, pembekuan dan suntikan. Teknik baru ini hanya dilakukan pakar.

Buasir tidak dapat dicegah, tetapi jika hendak mengurangkan masalah ini langkah pertama ialah menukar diet kepada jenis serat tinggi kerana ia akan mengurangkan sembelit. Tambah makan buah-buahan segar, sayur-sayuran serta bijirin, kurang lemak, makanan yang tinggi kandungan gula dan makanan yang sudah diproses.

No comments:

Post a Comment