SEDANG kaum Cina dan India terus mengejar kesenangan hidup dan melaksanakan agenda mereka sendiri, orang Melayu masih terus mendebatkan soal agama, politik dan perlunya mereka menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin.
Terakhir sekali Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, menasihatkan orang Melayu supaya jangan mempedulikan apa yang dikatakannya pelampau dan pejuang bahasa Melayu atau cauvinis kerana menurutnya tanpa bahasa Inggeris orang Melayu akan ketinggalan dalam dunia global ini.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa orang Melayu sekarang ini terumbang ambing seperti ‘zombi’ yang menderita penyakit schizophrenia.
Disebabkan kepemimpinan mereka yang sentiasa bertukar fikiran, orang Melayu berasa lemah dan serba salah selepas 47 tahun merdeka.
Pemimpin awal (Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan lain-lain) yang menuntut di England bersetuju bahasa Melayu didaulatkan dan dijadikan Bahasa Kebangsaan bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia.
Dengan diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kempen bahasa Kebangsaan dilancarkan dengan pelbagai acara. Istilah sains dan matematik dirumuskan sedaya upaya dengan pesatnya.
Satu kejayaan nyata ialah penubuhan Fakulti Perubatan di UKM dengan pensyarah dari Indonesia didatangkan untuk melatih penuntut perubatan pertama ini rata-ratanya dalam bahasa Melayu.
Kemampuan bahasa Melayu dalam bidang perubatan (sains) ini terbukti jelas dan pada hari ini terdapat beratus-ratus kalau tidak beribu-ribu doktor, pakar bedah dan pakar lain semuanya lulusan perubatan UKM. Seiring itu juga lulusan pelbagai bidang sains.
Tiba-tiba kepemimpinan menukar fikiran dan mendakwa penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik tidak boleh diteruskan lagi kerana kononnya tiada kualiti.
Saya tidak tahulah apa perasaan doktor, pakar jantung dan pakar sakit buah pinggang atau sakit puan yang mendapat MBBS mereka di UKM itu. Bila ditemuramah di TV mereka ini amat fasih berbahasa Melayu (lebih fasih daripada ahli Parlimen sendiri).
Sepanjang waktu ini, orang Cina dan India terus mendaulatkan bahasa mereka (dengan bantuan filem, drama dan bahan bacaan dari Hong Kong dan Madras).
Kadar pengangguran anak muda Cina sentiasa rendah kerana syarikat Cina, perniagaan keluarga dan sanak saudara lain sentiasa dapat menyerap lulusan sekolah Cina.
Bahasa Inggeris jarang menjadi perhitungan malah pelanggan mereka akan terperanjat kalau dilayan dalam bahasa Inggeris.
Sebaliknya, akhbar bahasa Melayu sendiri sudah menerima hakikat bahawa masa depan mereka tidaklah segemilang akhbar Cina dan Tamil.
Bahasa Melayu dipersalahkan apabila kepemimpinan Melayu percaya kerana kurangnya penguasaan atau tidak tahu bahasa Inggerislah menyebabkan kadar pengangguran di kalangan anak Melayu (50,000 siswazah) semakin meningkat).
Hanya dengan bahasa Inggeris, Malaysia boleh meluncur keluar daripada taraf Dunia Ketiga ke taraf Dunia Pertama, kata kepemimpinan Melayu.
Adakah ini benar? Saya tidak yakin begitu.
Lihatlah negara yang boleh dikatakan menjadikan bahasa Inggeris dan Perancis sebagai bahasa kebangsaan mereka: India, Pakistan, Filipina, Nigeria, Zimbabwe, Ghana, Uganda, Tanzania dan lain-lain di Afrika (Inggeris) dan Somalia, Maghribi, Algeria, Senegal dan lain-lain.
Walaupun rakyat dan cendekiawan negara ini fasih berbahasa Inggeris atau Perancis, mereka tetap merengkok di Dunia Ketiga. Ramai rakyat mereka terpaksa lari ke London atau Paris mencari rezeki saban hari dimaki hamun dan dicerca.
Kalau pandai main bola (Zinadine Zidane) atau kriket (Nasir Hussein) mereka akan sanjung sampai ke langit.
Begitu juga Turki dan Mesir. Dua negara Islam ‘gagah’ ini berusaha habis-habisan untuk memasuki Kelab Eropah, lebih-lebih lagi Turki. Pengasas Turki Moden Mustapha Kemal Attaturk merombak seluruh cara hidup Turki.
Tulisan asal Turki dalam skrip Arab ditukar kepada skrip Roman. Nilai hidup Islam seperti wanita bertudung dihapuskan.
Attaturk menjadikan Turki negara sekular sepenuhnya supaya diterima sebagai sebuah negara Eropah. Malangnya sampai hari ini Turki masih melukut di tepi gantang. Kesatuan Eropah menolak keahliannya walaupun Turki sebuah negara Nato.
Seperti Turki, Mesir dan Pakistan, saya yakin kalau pun bahasa Inggeris menjadi bahasa utama Malaysia, penerimaan, penghormatan dan anggapan negara Dunia Pertama tidak akan sampai ke mana juga disebabkan kita negara Islam yang ada kekurangannya tersendiri.
Kita akan disukai hanya kalau kita terus setia sebagai sebuah pasaran untuk lambakan produk mereka dari pesawat pejuang F18 atau kereta kebal jenis Chieftain antara tercanggih hinggalah kepada makanan segera McDonalds, KFC, kopi Starbucks, Nike, dan produk hiburan mereka.
Sebaliknya, cuba lihat negara Dunia Kedua atau Dunia Pertama seperti Greece, Portugal, Itali dan Sepanyol. Bahasa Inggeris atau Perancis bukan menjadi anutan mereka tetapi mereka punya cukup orang untuk menangani aspek perdagangan luar, diplomasi dan perhubungan antarabangsa.
Saya kira Malaysia juga begitu. Kita sudah punya cukup orang yang fasih bahasa Inggeris untuk menangani aspek penting, malah lebih cukup kalau dikira beribu-ribu penuntut yang dihantar ke Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand.
Pada peringkat ekonomi domestik dan ekonomi terkebawah (peruncitan) orang Melayu sudah boleh berbahasa Inggeris yang lebih daripada cukup. Saya tidak tahulah sama ada Rafidah mahu lihat keseluruhan Perhimpunan Agung Umno dijalankan dalam bahasa Inggeris. Kalau begitu memanglah bahasa Inggeris wakil dari Kuala Berang atau Kubang Pasu atau Mersing mungkin akan nampak cacat dan celanya atau serba kekurangan.
Bagi rakyat biasa mereka hanya perlukan sokongan terus yang jujur daripada kepemimpinan, sama ada peluang bekerja di sektor awam (sektor swasta pasti menggemari bukan Melayu kecuali kalau pekerja Melayu atau pengerusi lembaga pengarah boleh diperalatkan) atau berniaga kecilan dan sederhana.
Satu langkah pertama yang perlu dibuat ialah kos politik lebih-lebih lagi politik Umno dan kos demokrasi negeri ini perlu dikurangkan sebanyak yang boleh. Arena politik di Malaysia kita ini adalah satu industri yang besar.
Saya pasti kalau dibuat kajian dari segi perkapita, kos politik dan demokrasi Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia.
Ini adalah satu fenomena yang tidak sihat kerana ia membiakkan rasuah, kronisme, nepotisme dan apa-apa ‘isme’ lagi. Inilah kemelut sebenar yang sedang melanda bangsa Melayu sekarang.
BAKI MINUDDIN,
Ampang, Selangor.
Berita Harian, 10/8/2004
Legend of Dark Rider (2016)
10 years ago
No comments:
Post a Comment