Datuk Dr. Norraesah Mohamad secara jujur mengakui bahawa pencapaian keseluruhan kaum Melayu dalam pelbagai bidang masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Petunjuk-petunjuk sosioekonomi penting yang ada gagal menunjukkan bahawa orang Melayu secara keseluruhan sudah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan.
Sebagai seorang ekonomis, sudah pasti dakwaan beliau bukan melulu, tambahan pula memang nyata bahawa jurang antara profesional Melayu dan bukan Melayu semakin mengekang.
Menguasai ekonomi, pendidikan dan sosial secara majoriti bukanlah satu kerja yang mudah. Selama ini pun, beban mendominasi kehendak dan keperluan orang Melayu bukan terletak di bahu masyarakat secara keseluruhannya, tetapi di atas pundak pemimpin yang berhempas-pulas. Golongan Melayu yang besar hanya menunggu lampu hijau untuk memudahkan kerja, tanpa menyertai sepenuhnya usaha-usaha pembangunan dan kemajuan.
Antara sebab agenda sosioekonomi Melayu kurang menyerlah dan terkebelakang adalah kerana kemunduran daya pemikiran, kekurangan pengetahuan dan masih mengamalkan gaya hidup yang kolot. Melayu sangat suka digelar `tuan', tangan dicuci, makan disuap, rokok dicucuh, bantal disorong!
Soal kesamarataan ekonomi, pembangunan negara yang majmuk, kegemilangan pendidikan, kecemerlangan sosial dan keutuhan budaya dibiarkan terpikul kepada sesiapa yang layak. Pemikiran yang mundur seperti ini pasti tidak menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju. Kuasa yang ada pada orang Melayu tiada ertinya jika orang Melayu hanya pandai berborak kosong, bercakap tentang agama dan moral hanya bersandarkan tanggapan dan suka menyalahkan orang lain dan kemudian ketawa mengekek-ngekek dengan lawak yang kurang lucu semata-mata untuk menagih perhatian di kedai-kedai kopi.
Banyak pihak menyarankan supaya orang Melayu perlu berusaha keras bagi menguasai kesamarataan dalam pelbagai bidang. Daya juang perlu diperhebat agar orang Melayu tidak tenggelam timbul dalam arus perdana yang kadang-kadang, tidak terkejar sekiranya tiada stamina.
Kegigihan tanpa kenal putus asa adalah nilai kesungguhan yang perlu ada pada setiap orang Melayu sama ada mereka ingin mengejar kemajuan atau tidak, kerana selagi mereka rakyat Malaysia, selagi itulah mereka mesti membangun.
Mengharapkan bantuan kerajaan dalam pendidikan bukanlah salah orang Melayu. Sejarah yang lengkap pernah membuktikan bahawa orang Melayu tidak lahir daripada kalangan yang mampu dan kaya-raya.
Mereka harus belajar bersungguh-sungguh, berkorban dengan banyak, ketepikan segala rasa bosan dan lemah untuk berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan. Tidak ramai orang Melayu yang sudah kaya raya walaupun asalnya miskin, yang sanggup memberi wang ringgit untuk membantu pendidikan orang miskin.
Walau bagaimanapun, menunggu bantuan kerajaan untuk mendapatkan kerja setelah lulus dengan ijazah adalah amat memalukan.
Berkampung di pejabat menteri untuk meminta sokongan memudahkan tawaran kerja, memohon bantuan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dan sebagainya menunjukkan ada jenis Melayu yang tidak begitu diperlukan dalam era globalisasi ini.
Melayu cemerlang yang berdiri di atas kaki sendiri memang tidak ramai. Melayu yang bertarung dengan kekuatan akal, pertaruhkan waktu tidur dan rehat untuk kemajuan ekonomi, pendidikan dan sosial tanpa mengetepikan agama dikatakan Melayu yang `gila pembangunan'.
Revolusi mental dan anjakan paradigma dilihat sebagai dua faktor penting ke arah memajukan taraf hidup orang Melayu zaman ini.
Mereka tidak harus dimanjakan dengan kebendaan, tetapi inilah masanya untuk merubah pemikiran,menambah pengetahuan dan tidak terlalu konservatif.
Revolusi mental bertujuan mengubah sikap masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan kehendak semasa sesuai dengan pantasnya masa berlalu membawa kemajuan tanpa sempadan yang harus direbut.
Apa sahaja revolusi masyarakat, ia berasal daripada revolusi mental segolongan kecil manusia yang sedar. Revolusi Islam yang bangkit lebih 10,000 tahun dahulu pun berpunca daripada revolusi mental sebahagian kecil pengikut Nabi Muhammad yang bangkit untuk mengembangkan agama Islam berasaskan al-Quran, sunah, hubungan manusia dan Tuhan, moral dan keadilan.
Masyarakat Barat mencapai kemajuan ekonomi dan teknologi kerana terdapat kumpulan ahli pemikir yang sentiasa berusaha melahirkan idea baru serta merealisasikannya untuk kepentingan masyarakat keseluruhan. Dalam masyarakat Melayu juga kita ada kumpulan yang serupa yang telah menempa kejayaan dan sedang mengukir gemilang sesuai dengan kehendak zaman yang berubah dengan begitu drastik. Tetapi alangkah gahnya Melayu, andai kumpulan yang bukan ahli pemikir tidak begitu statik oleh pemikiran dan nilai yang lama yang tidak begitu membawa perubahan dalam kemajuan.
Anjakan paradigma tidak membawa kesan negatif sekiranya Melayu tetap utuh kepada agama dan moral. Keluarlah dari kepompong pemikiran sempit, janganlah mengharapkan agar kerajaan campur tangan lagi supaya jurang penguasaan ekonomi, pendidikan, sosial dan teknologi tidak melebar, kerana campur tangan hanya membawa keputusan, bukan perubahan yang berterusan! - NIK SALIDA SUHAILA, Gombak, Selangor.
Legend of Dark Rider (2016)
10 years ago
No comments:
Post a Comment