KEBELAKANGAN ini kita rancak membincangkan masalah bahasa ibunda kita yang telah dirojakkan dan masalah masyarakat kita lebih cenderung untuk berbahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu juga boleh menjalankan fungsi yang sama.
Sesetengah orang berasa lebih hebat dan tampak lebih terpelajar jika mereka berbahasa Inggeris walaupun tata bahasanya salah dan sebutannya pincang hinggakan mampu mengukir 1,000 senyuman di wajah sesiapa yang menyedarinya. Biar papa asalkan bergaya.
Saya berpendapat, sebab utama yang mempengaruhi masyarakat untuk memilih bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mereka ialah faktor keberkesanan. Sebagai contoh, mengapa kita berbahasa Inggeris dengan orang Barat? Kerana itulah cara paling efektif untuk berkomunikasi dengan mereka.
Begitu juga dengan syarikat swasta dan kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Mereka ini golongan profesional yang menguasai bidang masing-masing dengan bantuan buku-buku yang hampir semuanya dalam bahasa Inggeris. Lihat contoh di bawah:
l Bagaimanakah caranya untuk memuat-turun program ini? = Melayu
l Bagaimanakah caranya untuk ‘download’ program ini? = Rojak
l How to download this program? = Inggeris
Dari segi keberkesanan komunikasi, yang pertama berbunyi janggal dan kurang efektif. Soalan kedua dan ketiga lebih mudah untuk difahami kerana istilah ‘download’ adalah istilah yang biasa digunakan oleh pengguna komputer.
Saya masih ingat lagi sewaktu saya belajar Kimia dan Biologi untuk SPM, kami tidak berasa janggal untuk menyebut penunu Bunsen (Bunsen burner) dan tabung uji (test tube). Mengapa? Kerana itulah perkataan diperkenalkan kepada kami melalui buku sains SPM. Kami tidak mempunyai masalah menggunakan perkataan Melayu itu dalam perbualan seharian. Tiada masalah keberkesanan komunikasi di sini.
Lain pula ceritanya dengan komputer. Saya mempelajari bidang komputer dengan membaca buku Inggeris (buku Melayu sangat sukar dicari) dan saya dapati majalah komputer berbahasa Melayu sukar difahami.
Pelayaran laman (web-surfing), muat-turun (download), tetikus (mouse) dan papan kekunci (keyboard) adalah contoh perkataan yang berbunyi janggal di kalangan pengguna komputer seperti saya.
Jika hendak meminjam tetikus, saya akan berkata “Pinjamkan saya ‘mouse’ anda”. Mudah untuk disebut, kawan-kawan saya pun mudah faham.
Masyarakat kita mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris bukan kerana kurang kesedaran, tetapi mereka perlukan satu cara yang berkesan dan mudah untuk berkomunikasi.
Bertahun-tahun membaca buku Inggeris, belajar dalam bahasa Inggeris, fikir dalam bahasa Inggeris dan akhirnya bertutur pun dalam bahasa Inggeris.
Jika bahasa Inggeris sudah lekat di kepala, sudah tentulah perkataan Inggeris lebih mudah untuk digunakan dalam urusan kerja seharian.
Di rumah cakap Melayu, di kolej cakap Inggeris. Bahasa Melayu mahu, Inggeris pun perlu, jadilah bahasa rojak. Kalau tidak mahu bahasa rojak, bahasa Inggeris jadi pilihan ramai.
Sukar untuk bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu jika kita tidak dibiasakan dengan istilah Melayu yang tidak pernah muncul dalam buku Inggeris yang digunakan di IPT.
Cuba kita bayangkan, bagaimanakah keadaan kita sekarang jika semua buku ilmiah adalah dalam bahasa Jepun? Sudah tentulah sekarang ini kita akan mengalami masalah golongan berpendidikan terlalu gemar berbahasa Jepun dalam kehidupan seharian.
Belajar bahasa Jepun, baca buku Jepun, fikir dalam bahasa Jepun, berbual pun dalam bahasa Jepun. Terpampanglah dalam akhbar harian kita, ‘Usah rojakkan bahasa Melayu dengan bahasa Jepun’. (Perlu diingat tentera Jepun pernah menduduki Malaya dan Indonesia setelah menewaskan penjajah Inggeris dan Belanda pada awal perang dunia kedua).
Bagaimana untuk menyelesaikan masalah bahasa rojak ini? Satu cara mudah ialah dengan memelayukan perkataan Inggeris. Contohnya maus (mouse), kibod (keyboard), netwek (network) dan sebagainya.
Dengan cara ini semua bahasa rojak telah menjadi bahasa Melayu yang lengkap. Jalan penyelesaian ini terlalu hodoh. Mungkin ini bukan cara yang terbaik.
Cara yang lebih baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu lengkap ialah dengan menggunakan lebih banyak buku ilmiah berbahasa Melayu di IPT tempatan.
Tingkatkan usaha penterjemahan buku dan gunakan buku itu secara meluas di IPT.
Lihat saja Jepun dan China. Mereka tidak perlukan bahasa asing kerana mereka menggunakan bahasa ibunda dalam buku mereka dan dalam kegiatan pengembangan ilmu. Segala-galanya bermula dengan buku.
Legend of Dark Rider (2016)
10 years ago
No comments:
Post a Comment